Dikawali oleh seorang "danyang" yang melecutkan pecut untuk menentukan rentak tarian, setiap penari akan naik ke atas kuda masing-masing. Apabila muzik mula bergema, penari-penari yang dipimpin oleh "danyang" itu masuk ke gelanggang. Rentak muzik bermula dengan perlahan dan agak membosankan. Setiap penari akan menunggang dan memacu kuda menurut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu itu.
Ketika muzik menjadi lebih pantas, kuda-kuda akan menderap dengan lebih laju. Kekadang pihak penganjur akan merentang kain licik untuk pemain menitinya. Penari-penari boleh melakukan pergerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi enam kaki dan sebagainya. Semasa penari dalam keadaan sedemikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.
Penari-penari menari selama dua jam sehingga mengalami keadaan bersawai, terpukau dengan kehebatan pergerakan-pergerakan mereka. Ketika mabuk, mereka kekadang akan bermimpi menunggang kuda yang benar sambil menari-nari dengan iringan muzik. Disebabkan itu, mereka mencuba mengejar muzik itu. Keadaan ini dipanggil "naik syeh". Jika keadaan bertambah liar dan tidak dapat dikawali, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal-pengawal yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang untuk menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, dan seterusnya Tok Bomoh akan membaca jampi untuk memulihkan mereka.
No comments:
Post a Comment